Kerjaya Dira Abu Zahar

Televisyen dan filem

Dira pernah menjadi pengacara di rancangan televisyen Fulus Mania, Jom Ronda bersama Proton dan Melodi. Antara drama yang pernah dilakonkannya termasuk Delima, Cinta Tanpa Suara, Rona Roni Makaroni, Merah Puteh, Seratus Harijadi, Tower 13, Aki Nabalu, Arjuna, Perempuan, Dua Kali Mencintai Mu, Crossings dan Aku Bukan Dia. Beliau pernah berlakon dalam filem My Indie Rock Darling.

Dira juga turut terbabit dalam persembahan teater Kompilasi Vol II (Legasi) dan Tanda.[2] Beliau juga turut terbabit dalam penulisan skrip seperti untuk filem drama Syawal Aku Dan Dia di TV AlHijrah.[3] Dira pernah menyertai rancangan Sehati Berdansa, sebuah program realiti tarian terbitan Astro.

Beliau telah membintangi beberapa buah filem seperti Untuk Tiga Hari, Chow Kit, Kil, Lari, dan Longkai. Dira membintangi bersama Aiman Hakim Ridza dan Emma Maembong dalam filem Kimchi Untuk Awak arahan Michael Ang, yang ditayangkan pada Mac 2017.[4]

Dira menduduki kerusi pengarah dengan mengarahkan pementasan teater Mencari Sumaiyah yang memulakan pementasannya di Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 8 hingga 14 Ogos 2016.[5]

Beliau juga mengarahkan drama sitkom untuk Astro Warna, 3 Dara Kg.com yang dibintangi oleh Scha Al-Yahya, Marsha Londoh dan Eina Azman.

Politik

Mengikut jejah langkah bapanya, bekas Ketua Menteri Melaka kelapan, Datuk Seri Abu Zahar Haji Isnin menceburi bidang politik, Dira menyertai Puteri UMNO dengan menjawat jawatan sebagai Exconya dari 2015 hingga 2018.[6] Pelantikannya dibuat semasa mesyuarat sayap UMNO itu di Menara Dato' Onn yang dipengerusikan Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan. Turut hadir, Naibnya, Zahida Zarik Khan; Penolong Setiausaha Puteri, Fahariyah Md Nordin serta barisan EXCO.[7]

Pada 24 Ogos 2013, Dira menyerahkan borang keahlian Puteri UMNO kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Idris Haron. Beliau dipetik dari Utusan Malaysia sebagai berkata: "Saya hendak buat banyak perkara untuk parti sebab saya melihat bagaimana perjuangan mak dan ayah dalam parti dan atas semangat mereka saya berasa terpanggil menyertai Puteri,".[8]

Dira mendedahkan kepada Utusan Malaysia pada Jun 2018 yang beliau membuat kenyataan rasmi berhubung spekulasi beliau bertanding untuk jawatan Ketua Puteri UMNO.[9] Dalam satu temubual bersama Sinar Harian, Dira menyatakan beliau terus beristiqamah bersama UMNO sambil mengatakan apa yang beliau lakukan sekarang ialah berniaga dan berpolitik dan tidak lagi berlakon.[10] Dira diumumkan sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Jasin pada mesyuarat perwakilan pergerakan itu. Beliau menang tanpa bertanding bagi jawatan berkenaan untuk penggal 2018-2021.[11]

Rujukan

WikiPedia: Dira Abu Zahar http://www.astroawani.com/berita-hiburan/3-bulan-l... http://www.budiey.com/bapa-dira-abu-zahar-selamat-... http://www.imdb.com/name/nm5796022/ http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&d... http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&d... http://www.murai.com.my/berita/tempatan/article/ar... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/dira-abu-zah... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/kejayaan-ber... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/ramai-puji-d... http://www.sinarharian.com.my/nasional/datuk-seri-...